Tuesday, August 18, 2015

Dinihari

Sekarang waktu paling senggang adalah sekitar jam 2 pagi hingga ke 3 pagi. Sudah hampir sebulan beginilah keadaanya.

Waktu bekerja sudah berubah. Dari jam 12 tengah malam hingga habis waktu. Pelik. Tapi benar. Inilah yang mungkin dipanggil 'korban' teknologi. Semua mahu pantas. Semua mahu segera. Entah apa yang dikejarkan entah. Dunia.

Tidak cukup  tidur. Waktu biologi sudah bertukar. Siang menjadi malam. Malam menjadi siang. Kesihatan harus dijaga rapi. Apatah lagi aku ini yang pernah rapuh kesihatannya. Nantilah aku cerita.

Sekitar jam 2 hingga ke 3 pagi, waktu rehat. Bukan percuma. Cuma kerana kerja-kerja masih belum tersedia. Masih 'loading' kata orang zaman sekarang. Waktu itulah untuk rehat. Lelapkan mata. Tidur-tidur ayam kata orang. Waktu inilah aku ambil peluang untuk menulis di sini.

Bila siang, sekitar jam 10, biasanya badan akan penat. Mengantuk. Perlu tidur. Pesan doktor, perlu tidur yang aman sekurang-kurangnya 5 jam. Alhamdulillah. Terlaksana.

Memang banyak negatifnya bila bekerja di waktu ganjil sebegini.

Tapi setiap kepayahan itu ada indahnya.

Indahnya, Allah beri rezeki untuk solat tahajjud. Dikala majoritinya sedang enak diulit mimpi, Allah beri rezeki untuk beribadah.

Paginya, dapat bersarapan dengan suami.

Sebelum tidur jam 10, diberi lagi rezeki untuk solat dhuha. MasyaAllah, hebatnya aturan Allah.
 
Benarlah firman Allah. yang diulang sebanyak 31kali di dalam Surah Ar-Rahman:

"Maka nikmat Allah manakah yang kamu dustakan?"

Indahnya bila sesuatu yang negatif itu kau tangkaskan dan kau tumpukan pada keindahannya... Subhanallah.


Salam kasih.
 

Friday, August 14, 2015

Soalnya

Dekad ini bukan musim membaca blog setiap hari.
Dekad ini musim FB, Twitter, WhatsApp, Instagram dan yang sama 'aktif' dengannya
 
Sepuluh tahun lepas, kebanyakan warga siber setiap hari merayau-rayau ziarah blog sana sini.
Mencari berita.
Mencari cerita.
Mencari ilmu.
Mencari cinta (bila penulis berjaya memikat hati hanya melalui ketukan papan-papan kekunci..hehe)
 
Aku rindu zaman berjalan-jalan di blog. Ramai teman-teman blogger yang hebat-hebat sudah menyepi. Kurang menulis. Hanya segelintir yang masih setia.
 
Sekarang ramai dah beralih ke FB. Cuba perhatikan teman-teman di FB yang menulis 'status update' panjang berkajang ataupun tulis sedikit tapi terkesan di hati. Kemungkinan besar mereka itu adalah blogger terpendam yang gian menulis di sini.. hehehe

Soalnya... masih 'relevan'kah blogging ini?



 

Thursday, August 13, 2015

Nantilah

Hampir setahun tidak menulis. Laman menjadi beku.
Sepi.
Yang ada cuma tulisan-tulisan yang sudah lapuk, tapi kenangannya masih bugar dan mekar.

Bagaimana hendak mulakan?

Apakah yang patut dihidangkan dahulu kepada tamu yang telah lama tidak hadir ke halaman?

Good news?
Bad news?

Nantilah.

Idea sudah mencurah-curah
Seperti lambakan jigsaw puzzle di hamparan

Perlu dipilih-pilih
Perlu diasing-asingkan
Perlu disusun rapi

Barulah cantik!!!! Hehe..

Percubaan yang entah ke berapa kali untuk menghidupkan kembali laman ini.
Semoga Allah izinkan.


Salam kasih.