Sejak minggu lalu, aku menghabis masa di HKL untuk meneman ayah di wad. Dan sejak dari waktu itu, aku pelajari sesuatu dari persekitaran. Dari mereka yang meneman anak, suami, bapa atau datuk. Tentang kecintaan. Tentang kasih. Tentang kesabaran. Tentang kesungguhan. Tentang pengorbanan. Mereka ini meneman cinta dan kasih mereka yang terlantar di wad.
Pengorbanan dan kesabaran kerana cinta dan kasih mereka itu adalah sesuatu yang tak dapat dinilai dengan wang ringgit. Aku tabik dengan kesabaran mereka melayan karenah cinta dan kasih mereka yang perlukan perhatian. Mereka yang terlantar ini perlukan teman, cukup sekadar duduk di sisi katil. Supaya mereka tidak rasa sunyi.
Baru petang tadi, aku mendengar keluh kesah seorang kakak yang risaukan anaknya yang masih bersekolah terpaksa ditinggalkan untuk meneman suaminya yang terlantar sakit. Sudah lebih seminggu dia di hospital. Mengadu penat. Mengadu mengantuk. Kurang tidur. Sakit badan kerana tidur berbantalkan lengan di sisi katil suami. Tambahnya lagi sudah beberapa kali dia mengambil cuti tanpa gaji.
Itu semua dialognya semasa kami berbual kosong di luar wad. Aku hanya mampu tersenyum "Sabarlah kak, banyak pahalaNya yang akak terima". Itu sahaja yang mampu keluar dari kotak fikiran aku masa itu. Mungkin ini cara beliau menghilangkan stress dan kerisauan yang ada dalam hatinya. Aku faham. Bagaikan magic! Bila berada disisi suaminya, wajah kakak itu penuh senyuman. Segala minta dan ingin suaminya dituruti. Segala keluh kesahnya ditolak ketepi. Semuanya hilang bila berdepan dengan suaminya yang terlantar.
Cinta dan kasih sejati perlukan pengorbanan. Perlu sentiasa 'ada'. Cinta dan kasih sejati bukan hanya sekadar kata-kata manis. Berapa ramai yang sanggup berkorban seperti dia kerana cinta sejati? Berkorban masa untuk diri sendiri demi cinta dan kasih. Mengenepikan kepentingan diri sendiri semata-mata kerana cinta dan kasih. Tiada lain yang penting, asalkan cinta dan kasih cepat sembuh. Boleh kembali ke pangkuan keluarga dan memulakan rutin seharian.
Dan aku terus bertanya pada diri sendiri "Adakah aku akan sekuat dia jika diuji Allah sedemikan rupa?" ... jawapan aku "InsyaAllah.."
3 comments:
insyaallah, arap kita sama2 kuat utk buat pengorbanan yg sama..
apakah yg paling besar didunia?CINTA
apakah yg paling luas didunia?CINTA
apakah yg tiada sempadan?CINTA
Pinky - InsyaAllah..bukan senang nak hadapi cabaran ni kan..
Ad - setuju.
Post a Comment