Kerja aku nampak mudah. Balik awal. Tak kena jem. Boleh pergi sana-sini lepas waktu pejabat. Tapi, disebalik nampak mudah itu, ada payahnya. Payahnya nak bangun pagi seawal 4.30am. Payahnya nak memandu diwaktu awal pagi, yang mana masih ada saki baki mereka yang 'drink&drive' di jalanraya, yang sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Payahnya melihat kemalangan ngeri terlanggar tiang dan divider sana sini.
Dah baca paper hari ini? Kisah tentang risiko kerja aku. Inilah antara risiko dan kepayahan yang perlu aku dan teman2 sepejabat tanggung. Benda ini dah bertahun-tahun berlaku, dan akhirnya, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah. Orang bersorak kerana tupai sudah jatuh ke tanah, tapi "kesan2 tapak lompatan tupai" itu... hanya kami yang merasakannya..
Kalau boleh, teman2ku, hindarkan dari pos cek bayaran. Lebih selamat jika bayar di kaunter, CDM (cash deposit machine) atau Internet banking. Lebih mudah. Lebih cepat. Lebih selamat.
Artikel ini aku petik dari laman Harian Metro. Selamat membaca.
Curi cek peti pos
Oleh Kasdi Ali
kasdi@hmetro.com.myIPOH: Bagi anggota satu sindiket, untuk menjadi kaya adalah perkara mudah tanpa perlu modal atau pelaburan besar.
Mereka cuma perlu memecah peti pos di sekitar bandar raya ini untuk mencuri cek yang diposkan orang ramai.
Cek terbabit kemudian diubah suai nama penerima serta jumlahnya menggunakan bahan kimia, kertas pasir, getah pemadam, dua kotak pensel warna, kanta pembesar dan beberapa batang pen tanpa dapat dikesan pihak bank.
Cek itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun mereka melalui mesin pendeposit cek atau digunakan untuk menjelaskan pembayaran seperti kad kredit.
Kepakaran `toyol cek’ itu ternyata membuahkan hasil lumayan apabila polis mengesahkan sejak Januari hingga September lalu, mereka berjaya menunaikan 84 cek curi yang diubahsuai bernilai RM180,000.
Kegiatan sindiket itu dikesan ketika polis merampas 228 cek pelbagai bank, 91 daripadanya diubah suai nama penerima dengan nilai keseluruhan RM484,989.97 di sebuah rumah di Taman Boon Bak di sini.
Serbuan dilakukan sepasukan polis Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri kira-kira jam 9 malam kelmarin selepas menerima maklumat orang awam yang mengesyaki rumah itu dijadikan markas penagihan dadah.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, yang mendedahkan kegiatan sindiket itu, semalam, berkata ketika sepasukan polis melakukan serbuan terbabit, rumah itu turut dijadikan pusat pemalsuan cek bernilai hampir setengah juta ringgit.
“Selain menemui dua peket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu, polis merampas 228 cek pelbagai bank, 91 daripadanya diubah suai nama penerima dengan jumlah keseluruhan RM484,989.97,” katanya pada sidang media di IPK, semalam.
Turut ditemui tujuh keping wang pos yang diubah suai nama penerima bernilai RM327 dengan 117 keping sampul surat dicuri dari peti pos, 175 slip ‘bank-in’, 80 slip bayaran kad kredit, 28 keping kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank dan tiga buku akaun simpanan pelbagai bank.
Selain itu, satu salinan wang RM50 yang diimbas, beberapa salinan cek yang diimbas serta satu botol berisi cecair dipercayai bahan kimia, beberapa keping kertas pasir, getah pemadam, dua kotak pensel warna, kanta pembesar dan beberapa batang pen dipercayai digunakan bagi tujuan pemalsuan cek.
Beliau berkata, susulan penemuan itu, sepasukan polis Cawangan Jenayah Komersial dipanggil bagi menjalankan siasatan.
Dalam serbuan itu, empat lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 25 dan 44 tahun dipercayai ahli sindiket berkenaan di rumah terbabit ditahan dan direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
Dalam siasatan awal, pihak polis percaya enam suspek adalah rakan kepada lima anggota sindiket sama yang ditahan Ogos lalu.
“Setakat ini, 11 suspek anggota sindiket pemalsuan cek yang dipercayai bergiat aktif di negeri ini sejak awal tahun sudah berjaya ditahan.
“Bagi tempoh Januari hingga September lalu, 84 kes pemalsuan cek pos dilaporkan dengan jumlah kerugian RM180,000,” katanya.
Polis kini mengesan tiga lelaki dipercayai boleh membantu siasatan iaitu Chen Tian @ Alex dengan alamat terakhirnya No 470, Kg Baru, Simpang Pulai, Ipoh; Choong Lai Meng @ Ah Meng di No 55, Persiaran Desa, Tambun 3, Desa Tambun, Ipoh dan Lee Jian Hwa @ Ah Wah di No 41, Hala Rapat Baru 14, Taman Sri Rapat, Ipoh.
Salam kasih.
2 comments:
kes-kes camni sepatut diamik berat oleh pihak berwajib dan cabaran kepada pihak bank utk mengemaskinikan sistem pengesanan penipuan cek nih...
kajangmali,
betul tu.. tapi biasanya.. lagi canggih teknologi, lagi teruja depa2 nak buat hal. Mencabar sistem.
Post a Comment